Nuffnang

Tuesday, March 27, 2018

Buat Pilihan Tepat, Pilih Dengan Bijak Untuk Perubahan Di #ParitBuntar – Mua'amar Ghadafi

PARIT BUNTAR, 26 Mac – Ketua Pemuda UMNO Parit Buntar, Mua’mar  Ghadafi Jamal Jamaludin melihat ingatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada program pemimpin bersama rakyat daerah Kerian di Dataran Kerian Permai adalah satu ingatan yang jelas dan ikhlas agar rakyat tidak tersalah pilih parti dalam pilihan raya umum akan datang.

Malah menurut beliau kehadiran ‘kelawar-kelawar politik’ yang kunjung tiba lima tahun sekali perlu ditolak awal-awal kerana kehadiran mereka bukanlah untuk menyelesaikan masalah penduduk namun hanya membawa fitnah terhadap pelbagai usaha yang dijalankan oleh kerajaan hari ini.

“Ucapan TPM agar penduduk memberikan pilihan kepada BN tepat sekali kerana kalau kita mengambil contoh kawasan ini yang mana selama dua penggal berada di bawah pembangkang  kita dapat lihat pembangunan serta kebajikan rakyat agak ketinggalan berbanding kawasan-kawasan lain.

“Ini bukanlah kata-kata kosong… sebab itulah kita katakan rakyat perlu memilih wakil rakyat yang sentiasa bersama rakyat, yang bersedia mendengar keluh kesah rakyat dan bersedia untuk menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya sekadar datang untuk mengadu domba serta mencucuk dan mengadu fitnah semata-mata untuk kepentingan mereka sahaja dan bukannya berdasarkan kepentingan dan keutamaan rakyat,” katanya di sini, hari ini.



Beliau berkata demikian  kepada  UMNO-Online, selepas  program pemimpin bersama rakyat yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di daerah Kerian di Dataran Kerian Permai di sini hari ini .Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar Datuk Abu Bakar Mat Ali, Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai Datuk Sham Mat Sahat.

Ghadafi seterusnya menegaskan jentera BN Parlimen Parit Buntar berada dalam satu pasukan yang padu dan masing-masing dilihat berstau hati untuk menghadapi PRU akan datang.

“Sebab itulah kita bersatu hati dalam pilihan raya akan datang ini. Ini masa untuk kita sama-sama  buat pilihan dengan tepat dan betul untuk kepentingan rakyat dan pilihan yang betul tentunya seperti mana yang disebutkan oleh Datuk Seri Zahid.

“Malah untuk golongan pengundi muda khususnya B40, kita percaya mereka sedia untuk sama-sama membuat perubahan pada kali ini dan dengan manifesto khusus untuk orang muda diyakini akan melonjakkan lagi sokongan yang ada hari ini,” ujarnya.-MediaUMNO

No comments:

Post a Comment