Nuffnang

Friday, March 16, 2018

Beri Peluang Barisan Nasional Rampas kembali Parit Buntar, Martabatkan Institusi Pendidikan Islam


PARIT BUNTAR 15 Mac - Parit Buntar mempunyai sejarah panjang, lebih 100 tahun sebagai daerah yang terkenal dengan kewujudan institusi pendidikan agama sehingga berjaya melahirkan ramai cerdik pandai dan cendekiawan Islam.

Antara sekolah dan pusat tahfiz terkemuka di sini termasuklah Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan Al-Tahzib di Titi Serong, Sekolah Menengah Agama Shamsul Maarif Al-Wataniah di Tanjung Piandang, Sekolah Menengah Agama Al-Falah, Parit Buntar, Tahfiz Alhidayah, Sekolah Menengah Agama Al-Tahzib, Titi Serong dan banyak lagi.


Berpegang kepada sejarah itu, ramai yang berpandangan sudah sepatutnya pembangunan pendidikan agama di Parit Buntar dipertingkatkan lagi martabatnya, tidak sekadar sekolah agama atau pusat tahfiz atau yang bertaraf sekolah pondok sahaja.

Sudah sampai masanya da­erah ini memiliki sebuah institusi pendidikan Islam bertaraf lebih tinggi, paling tidak seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab ataupun yang bertaraf kolej.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan daerah ini amat wajar jika diwujudkan sebuah universiti khusus dalam bidang pendidikan Islam.

Seorang penduduk, Rosly Hassan, 58, menyambut baik jika kerajaan menimbangkan cadangan supaya sebuah institusi agama yang lebih profesional dibina di Parit Buntar.

Pesara kerajaan itu berkata, berdasarkan pengamatannya, institusi pendidikan seperti (MRSM) Ulul Albab antara yang sesuai diwujudkan.

Katanya, apatah lagi Parit Buntar merupakan satu-satu­nya kawasan di Perak yang tidak mempunyai sekolah berasrama penuh seperti MRSM.

“Perkara ini pernah dibangkitkan, namun ada yang memberi alasan daerah ini dekat dengan MRSM Nibong Tebal, Pulau Pinang yang jaraknya cuma lima kilometer dari Parit Buntar.

“Apa yang membanggakan, walaupun tiada sekolah berasrama penuh di sini, keputusan peperiksaan pelajar di sekolah di sini adalah yang terbaik di Perak kerana latar pendidikan agama pelajarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Rosly, impian masyarakat di sini ialah melihat satu institusi agama terbina dan tidak mustahil ia boleh dicapai jika Barisan Nasional (BN) diberikan kepercayaan untuk memenangi Parlimen Parti Buntar.

Katanya, ini kerana selama dua penggal Parlimen Parit Buntar dimenangi Pas, tiada apa dilakukan wakil rakyatnya untuk meningkatkan lagi perkembangan institusi pendidikan Islam di daerah ini.

“Setelah dua kali kalah, BN perlu merampas semula Parlimen Parit Buntar supaya institusi pendidikan Islam dimartabatkan di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, selama ini pun bantuan kerajaan menjadikan sekolah agama di daerah ini le­bih tersusun dan lengkap dari segi kewangan dan infrastrukturnya.

Katanya, bantuan kerajaan kini menjadikan sekolah agama di sini bukan lagi ‘sekolah untuk orang gagal’ sebaliknya menjadi pilihan ibu bapa yang mahu anak mereka mendapat pendidikan agama.

“Inilah kesan baik apabila ada sekolah agama yang dibantu kerajaan. Gurunya menerima gaji dan diberikan kursus untuk me­laksanakan sistem pendidikan yang lebih berkesan,” katanya.

SUMBER

No comments:

Post a Comment