Benar, kita umat Islam di negara ini tidak mahukan kepada perpecahan. Mungkin hanya segelintir menganggap dan menggunakan perpecahan tersebut sebagai baja dan batu loncatan kepada cita-cita jangka panjang mereka. Tetapi umat Islam secara umum tidak inginkan perkara itu berlaku.
Umat Islam yang berpegang teguh kepada aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang memperjudikan akidah serta Islam di dalam tindakan mereka. Tidak kira UMNO atau pun PAS ataupun mana-mana pihak sekalipun, tindakan memperjudikan akidah akan ditentang secara sepenuhnya.
Uniknya perpecahan Melayu/Islam di sini, puncanya ialah satu. Ia bermula dengan pemahaman yang tidak seia dan sekata mengenai status Islam di negara ini. Pemerintah serta organ-organ pemerintahan menegaskan bahawa negara ini sebuah negara Islam yang sedang dalam perjalanan untuk menuju pengisian dan pengamalan Islam sepenuhnya.
Apabila Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad menegaskan negara ini merupakan sebuah negara Islam di dalam ucapan pembukaan Konferens Parti Gerakan kali ke 30 pada 29 September 2001, dengan pantas kata-katanya disanggah oleh Dato Nik Aziz, iaitu Menteri Besar Kelantan pada waktu itu. Lim Kit Siang, kemudiannya membawa pengikut-pengikut DAP terhembalang ke jalan-jalan raya memasang poster “NO TO 929” dan kempen “No To 911, No to 929 and Yes to 1957” digerakkan mereka dengan penuh bersusah payah. Dahulu mereka tidak mempunyai PAS untuk melakukan kerja bergolek-golek di atas jalan sebagai satu bentuk outsourcing tenaga kerja parti. Segalanya dilakukan sendiri. Sekarang ini, dengan adanya PAS untuk sentiasa berkhidmat kepada DAP, bila masa sahaja DAP perlu mempergunakan mereka, maka semua kerja berpanas-panasan serta kerja-kerja kasta bawahan parti tidak perlu lagi dilakukan DAP.
Nyata ketidaksepakatan ini menyebabkan musuh-musuh Islam lebih berani untuk menyatakan bantahan kepada deklarasi negara ini sebagai sebuah negara Islam oleh Parti Pemerintah.
Ketidaksepakatan ini berlaku kerana masing-masing pihak cuba menunggang isu ini bagi memaksimumkan keuntungan jalan-jalan politik yang sedang diperjuangkan mereka. Jika benar kesemua mereka memperjuangkan Islam, tentu sahaja mereka akan duduk sepakat dan bersetuju dengan status Islam sebagai Agama Negara dan berusaha untuk mendaulatkan Islam di dalam negara dengan pengisian Islam yang lebih baik dan mantap.
Malangnya, terasuk dengan kecanduan politik yang menebal, ramai yang larut di dalam perdebatan dalam menafikan status negara ini sebagai sebuah negara Islam. Negara ini telah ‘disekularkan’ sejak sekian lama oleh orang-orang Islam sendiri yang menjadi pengikut parti-parti politik tertentu. Sedangkan hakikatnya negara ini bukanlah sebuah negara sekular.
Berdekad diprogramkan minda mereka untuk menerima dan meyakini bahawa negara ini sebuah negara sekular, lalu semua usaha untuk mengembalikan imej Islam sebagai agama negara kini terpaksa melalui jalan-jalan berliku. Ia satu uphill task yang perlu digagahi semua pihak.
Tetapi malang sekali apabila usaha berat ini sedang digagahi, muncul kenyataan-kenyataan sinis dari mereka-mereka yang dipandang sebagai tokoh dalam masyarakat. Dr MAZA, mantan mufti negeri Perlis yang terkenal hidup dengan kenyataan-kenyataan kontroversi sebelum ini pernah memperlecehkan usaha pihak-pihak yang mahu menyedarkan ramai pihak bahawa negara ini adalah sebuah negara Islam. Lalu satu kenyataan sinis dikeluarkan bahawa mana-mana negara tidak akan memasuki syurga dan neraka. Pemikiran oversimplistic, merodok isu dari dalam 'tempurung rasa bagus' sudah menjadi kebiasaan bagi tokoh ini.
Bangkit! pernah menjawab kenapa status negara sebagai sebuah negara Islam amat perlu untuk ditegaskan. Memetik pendapat seorang Pensyarah Universiti tempatan, saudara Ahmad Farami, Bangkit! menjawab dengan perkara berikut :
Takrif sekular vs bukan-sekular penting sebagai hujah dalam pengurusan polisi. Sebuah negara sekular tiada asas etika (kerana etika sifatnya relatif), legitimasi atau hujah untuk memihak kepada komuniti khusus. Tanpa identiti bukan-sekular, Malaysia tiada justifikasi untuk menghalang aliran menyeleweng Syiah atau Ahmadiyyah, projek LGBT Seksualiti Merdeka atau Pink Dot, penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik dan seumpamanya. Sebuah negara sekular sifatnya neutral terhadap mana-mana agama atau amalan keberagamaan. Takrif sekular vs bukan-sekular ada nilai dan fungsi.
Golongan musuh Islam di dalam negara sedang berusaha keras untuk menafikan status negara ini sebagai sebuah negara Islam. Lalu dijaja mereka dengan fantasi-fantasi yang disulam mitos, dongengan dan khayalan ciptaan mereka bahawa negara ini dibina untuk menjadi sebuah negara sekular. Kerap kalinya mereka dengan sengaja memetik sebuah cadangan tertolak yang pernah dimuatkan di dalam Memorandum Perikatan yang diserahkan kepada Suruhanjaya Reid pada 1956.
Menakjubkan bila ada yang percaya. Ia termasuk dari golongan pengamal undang-undang yang seharusnya faham akan perbezaaan antara cadangan yang dikemukakan dengan cadangan yang diterima masuk sebagai sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.
Antara yang menentang status negara ini sebagai negara Islam dan yang berani menegaskan kenyataan sebenar bahawa negara ini sebuah negara Islam, terdapat satu golongan pertengahan yang cuba mengambil isu ini sebagai sesuatu yang enteng serta tidak perlu untuk diperjuangkan dengan tegas.
Kenyataan Dr MAZA sebelum ini termasuk di dalam kumpulan ini. Malah, malang sekali ketika membaca sebuah penulisan cemerlang yang cuba menyedarkan orang-orang Islam supaya berhenti berpecah, Tun Abdul Hamid pernah membangkitkan persoalan tentang apa perlunya untuk diteruskan perdebatan mengenai Islam sebagai Agama Negara.
Musuh Islam pun bersorak sorai gembira. Jika tidak dapat menyakinkan majoriti umat Islam bahawa negara ini secara fantasinya ialah sebuah negara sekular, membuatkan mereka menjauhi perdebatan ini juga akan ditafsirkan mereka sebagai satu kejayaan. Jika orang-orang biasa yang mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa, ianya tidak akan diberikan sambutan yang menggembirakan. Tetapi apabila kenyataan dikeluarkan oleh Dr MAZA, seorang tokoh Islam yang dipandang tinggi oleh keturunan baginda Queen Elizabeth dan Tun Abdul Hamid yang merupakan bekas Ketua Hakim Negara, maka ia ibarat memberikan golongan penglipurlara yang sentiasa mendendangkan lagu Malaysia sebagai sebuah negara sekular dengan sebuah bola tanggung.
Orang Melayu cukup-cukuplah dengan sikap tidak apa. Apa yang telah kita kehilangan, terkorbankan dengan sengaja kerana sikap tidak apa generasi-generasi yang lepas, usah kita teruskan dengan harta pusaka kita yang masih lagi tinggal. Islam ialah Agama Negara dan ia termaktub kemas di dalam Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Jika atas fakta yang terang dan nyata ini pun kita tidak boleh bersatu hati dan berlapang dada, maka padah perpecahan yang lebih parah akan kita tanggung. Bersorak sorailah puaka-puaka kuffar dan liberal.
PAS sudah lama mensekularkan negara tanpa mereka faham dan tahu akan apa natijah panjang perlakuan dan perbuatan mereka. UMNO pula, jika satu ketika dulu utuh berpegang dengan kenyataan bahawa Malaysia ini merupakan negara Islam, tetapi malangnya pada hari ini telah muncul retak dan berpecah pendapat yang berlaku sehingga ke peringkat Majlis Tertinggi. Parasit-parasit yang beriman dengan sifir kesudahan Tiga Ta, Harta, Takhta dan Wanita kini melingkar-lingkar di dalam Majlis Tertinggi UMNO. Terasuk Tiga Ta, lantas perjuangan Alif Ba Taa UMNO semakin terhakis dan hilang upaya dikala parti yang mempunyai lebih 3 Juta Orang Ahli hanya sekadar mampu berbunyi seperti cengkerik di gigi air bila Islam dihina, diperlekehkan dan disepakterajangoleh komponen-komponen parti rasis dan biadab di dalam Barisan Nasional. Lupakan sahaja dengan PAS, kerana mereka telah berubah kepada Jabatan Mengeluarkan Fatwa menghalalkan segala tindak nya.
No comments:
Post a Comment