Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini memutuskan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra perlu meletakkan jawatan kerana didapati menyalahguna kuasa.
Mahkamah itu mendapati Yingluck telah bertindak di luar batas undang-undang apabila menukarkan Ketua Majlis Keselamatan Negara, Thawil Pliensri dua tahun lalu.
Kes terhadap Yingluck difailkan oleh seorang senator selepas mahkamah dua bulan lalu memutuskan pertukaran itu sebagai tidak sah dan pegawai keselamatan itu mesti dikembalikan ke jawatan asalnya.
Penentang Yingluck sebelum ini mendakwa pertukaran itu dibuat bermotifkan politik dan mencabul perlembagaan.
Perkembangan terbaru ini dilihat kemuncak krisis politik yang dihadapi oleh pentadbiran Yingluck sejak enam bulan lalu selepas penentang kerajaan melancarkan siri protes untuk menggulingkannya.
Krisis politik itu mempertembungkan kumpulan kelas menengah dan pro istana dengan penyokong Yingluck yang kebanyakannya rakyat bawahan dan luar bandar yang turut menyokong abang beliau, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.
Thaksin digulingkan oleh tentera pada September 2006 dan kini hidup di luar negara untuk mengelak hukuman penjara yang dijatuhkan oleh mahkamah ke atasnya pada 2008 atas dakwaan salah guna kuasa berhubung penjualan hartanah.
Keputusan Mahkamah Perlembagaan ini mengimbau semula kes sama pada 2008 yang dilalui oleh dua perdana menteri sebelum ini, Samak Sundaravej dan Somchai Wongsawat yang juga disokong oleh Thaksin.
Yingluck pada Selasa mempertahankan keputusan pertukaran yang dibuatnya itu dengan mengatakan ia adalah keputusan jemaah menteri "demi kepentingan negara" dan beliau tidak campur tangan.
Pakar undang-undang berpendapat dengan keputusan ini kabinet Yingluck perlu meletakkan jawatan namun pandangan itu tidak dipersetujui oleh Parti Pheu Thai pimpinan Yingluck.
No comments:
Post a Comment