Nuffnang

Friday, April 5, 2013

Lagi Pemimpin PKR Keluar Parti



KAMPUNG GAJAH - Dalam masa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin hampir, PKR Pasir Salak menerima kejutan apabila Pengarah Pilihan Rayanya, Ahmad Taufik Hassan membuat pengisytiharan keluar dari parti itu dan menyertai Umno, malam kelmarin.

Beliau membuat pengisytiharan itu dalam satu majlis, di sini bersama-sama 64 ahli PKR Ranting Kampung Gajah.Ahmad Taufik yang juga bekas Setiausaha PKR Cabang Pasir Salak berkata, keputusan keluar PKR dibuat kerana kecewa dengan pucuk pimpinan parti itu yang dilihat tidak mengendahkan pendapat serta pandangan di peringkat ranting dan cabang.

"Kami kecewa kerana pucuk pimpinan PKR tidak mengambil kira pendapat kami dalam menentukan pemilihan calon dalam PRU13. Sebagai contoh, ada nama yang dikemukakan oleh cabang dan ranting PKR tidak diterima oleh pucuk pimpinan.

"Sebaliknya mereka letak calon yang pernah kalah dalam pilihan raya umum lalu. Kami kecewa dengan perkara itu. Selain itu terdapat beberapa isu lain gagal diselesaikan PKR menyebabkan kami ambil keputusan keluar PKR dan sertai Umno," katanya ketika ditemui di Dewan Serba Guna Rancangan Perumahan Awam (RPA) 2, Kampung Gajah.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Sementara itu, Tajuddin yang turut ditemui berkata, kemasukan Ahmad Taufik serta rakan-rakannya dalam Umno boleh dianggap seperti sirih pulang ke gagang, sekali gus melumpuhkan PKR di kawasan itu.

Beliau turut berkeyakinan kemasukan Ahmad Taufik akan dapat menarik lebih ramai ahli PKR lain menyertai Umno serta membuktikan ahli-ahli PKR tidak lagi memberi kepercayaan kepada parti itu, terutama ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya yakin tindakan Ahmad Taufik bakal diikuti ahli PKR lain dan kita mendapat maklumat ahli PKR Cabang Pasir Salak semakin mengecil serta tidak sampai 10 cabang yang masih aktif.

"Kita harap lebih ramai ahli PKR dan Pas menyertai Umno untuk sama-sama memperjuangkan Islam terutama isu kalimah ALLAH yang cuba dipermainkan pihak tertentu. Kita akan tentang sekeras-kerasnya mana-mana orang Melayu yang cuba bersekongkol dengan DAP untuk menghancurkan Islam," tegasnya

Sumber

No comments:

Post a Comment