Nuffnang

Tuesday, June 24, 2014

#pemilihanpkr Desakan pemilihan kali ke-3 Cabang Nibong Tebal


NIBONG TEBAL:  Walaupun Pemilihan semula PKR sudah diadakan buat kali kedua, namun ahli parti itu masih tidak berpuas hati.

Menurut Bekas Timbalan Ketua Cabang itu, Mohd. Kamil Abu Bakar, anggota parti itu tidak mengiktiraf pemilihan semula pada Ahad lalu kerana mendakwa proses itu dicemari unsur sabotaj dan tidak boleh dipercayai.

Justeru mereka mendesak agar pemilihan kali ketiga diadakan dalam waktu terdekat.


"Prinsip keadilan tidak wujud dalam pemilihan parti dan ini mengecewakan kami sebagai ahli peringkat akar umbi.

"Disebabkan perkara ini, ada yang menyarankan supaya kami keluar parti," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, pemilihan di Cabang Nibong Tebal kecoh apabila penyokong calon yang bertanding bertikam lidah ketika proses pengundian di Dewan Serbaguna Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Seri Ampangan, berlangsung.

Proses pengundian yang bermula pukul 10.30 pagi itu pada Ahad lalu, tiba-tiba tegang apabila penyokong penyandang Ketua Cabang Nibong Tebal Datuk Maktar Shapee dan seorang calon Datuk Mansor Othman, yang juga Anggota Parlimen Nibong Tebal, cuba meraih undi anggota PKR yang hadir untuk mengundi.

Penyokong Maktar, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, dan Mansor dilihat saling membuat provokasi sehingga menyebabkan mereka hampir bertumbuk.

Dalam pada itu, difahamkan pemilihan semula Cabang Nibong Tebal diboikot penyokong Maktar selepas mendakwa tidak berpuas hati dengan tarikh pemilihan semula yang diputuskan PKR pusat.

Proses pengundian yang berakhir pada 5.30 petang itu menyaksikan sebanyak 412 daripada 3,758 anggota PKR cabang Nibong Tebal yang layak mengundi, hadir membuang undi.

Untuk rekod, proses pemilihan PKR Cabang Nibong Tebal dilakukan semula selepas berlaku kekecohan pada 4 Mei yang lalu, apabila keputusan pengundian dibatalkan gara-gara terlebih undi.

Difahamkan jumlah kertas undi yang diterima ialah 838 keping berbanding senarai daftar sebanyak 672 orang.

No comments:

Post a Comment