Nuffnang

Tuesday, May 20, 2014

#PRKBukitGelugor Mat Sabu Dicabar Anjur Sesi Penerangan Mengenai Kepentingan Pelaksanaan Hudud @APterkini @Utaranews


Pemimpin Pas Pulau Pinang terutamanya Pesuruhjaya negeri, Mohamad Sabu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man dicabar supaya menganjurkan sesi penerangan mengenai kepentingan pelaksanaan hudud di Parlimen Bukit Gelugor.

Ahli Pas kawasan Parit Buntar, Perak, Mohd. Azimi Roslan berkata, sesi penerangan itu bukan sahaja penting tetapi menjadi satu kewajipan ke atas pemimpin sebuah parti Islam.

Beliau mendakwa, dua hari lalu ada pihak tertentu menganjurkan ceramah mengenai bahayanya hudud di kawasan Parlimen itu.


Pada masa yang sama, beliau mempersoalkan mengapa pemimpin Pas bukan sahaja tidak berani bercakap berhubung isu tersebut malah bertindak mencemuh Mohamed Nabi Bux Mohd. Nabi Abd. Sathar, sedangkan calon Bebas Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor itu memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud.

“Mengapa apabila isu hudud disentuh oleh Mohamed Nabi Bux yang merupakan ahli Pas, kepimpinan parti melenting tetapi jika DAP yang bersuara, mereka bertindak sebaliknya. Sedangkan hudud ini perjuangan Pas sejak sekian lama tetapi mengapa bila ahli bersuara dicemuh?

“Sampai bila kita harus tunduk kepada mereka yang terang-terang menentang perjuangan Pas khususnya dalam menegak hukum Islam. Jika ada pihak lain berani buat ceramah bahaya hudud mengapa pemimpin Pas Pulau Pinang berdiam diri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Azimi berkata, keputusan Mohamed Nabi Bux bertanding di Bukit Gelugor wajar disokong oleh seluruh umat Islam terutama pengundi kawasan berkenaan kerana apa yang diperjuangkan ahli Pas tersebut adalah perkara asas yang dituntut oleh agama Islam sendiri.

Katanya, umat Islam wajar bangkit bersatu memandangkan pemimpin Pas terutama yang mewakili Pulau Pinang membisu dan tidak berani memperjuangkan hudud semata-mata demi menjaga hati pemimpin DAP walaupun parti sekutunya itu secara terbuka menolak hukum Islam tersebut.

“Saya menyeru kepada pengundi Islam di Bukit Gelugor tanpa mengira ideologi politik, berilah kemenangan kepada Mohamed Nabi Bux kerana ini adalah peluang untuk umat Islam menambah seorang lagi wakil rakyat Islam di Parlimen bagi menyokong hukum hudud," katanya.

No comments:

Post a Comment