Nuffnang

Sunday, December 15, 2013

Penguna Waze Tinggi Di Malaysia


KUALA LUMPUR – Selepas memperoleh momentum kukuh di Malaysia, aplikasi mudah alih navigasi trafik Waze Ltd merancang mengukuhkan kedudukannya di sini dengan bekerjasama bersama agensi kerajaan, perniagaan tempatan dan syarikat media.
Malaysia ketika ini merupakan satu daripada lima pasaran utama di dunia bagi Waze, kata Pengarah Kanan Komunikasinya, Julie Mossler.

Bercakap kepada pemberita pada taklimat media beliau berkata orang Malaysia selesa dengan teknologi mudah alih dengan jumlah pengguna aktif Waze di sini meningkat lebih daripada dua kali ganda kepada 1.5 juta pada Oktober daripada kira-kira 600,000 pada Februari.
Syarikat itu yang dibeli oleh Google Inc pada Jun dengan harga US$966 juta, memperoleh niaga janji dengan Astro Malaysia Holdings Bhd.

Pengendali TV berbayar itu dijangka menawarkan maklumat trafik masa sebenar kepada penonton pada awal 2014, katanya.
Ini akan menjadikan Malaysia sebagai pasaran ketiga bagi Waze selepas AS dan Mexico untuk bekerjasama dengan badan penyiar.
Selain itu, katanya, Waze juga ketika ini sedang berbincang dengan agensi kerajaan Indonesia dan beberapa syarikat telekomunikasi di Filipina, sambil menambah ia tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia.

Walaupun Mossler enggan mendedahkan unjuran pertumbuhan jumlah pengguna Malaysia, beliau berkata syarikat itu akan terus memanfaatkan momentum di sini bagi memacu pertumbuhannya di seluruh dunia.
Aplikasi Waze, yang semakin popular dan mempunyai 50 juta pengguna semasa ia dibeli oleh Google, membantu pemandu mencari laluan paling pantas dengan maklumat trafik masa sebenar. 

No comments:

Post a Comment