Nuffnang

Monday, November 11, 2013

MP Kota Belud : PKR Tiada Landasan Perjuangan Sebenar




KOTA BELUD, 11 Nov - Wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertindak keluar parti baru-baru ini menunjukkan kemelut dalaman parti itu yang kini tidak mempunyai landasan perjuangan yang sebenar.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan percaya masalah komunikasi dan tiada persefahaman di kalangan anggota dan pucuk pimpinan tertinggi parti menjadi punca mereka bertindak sedemikian.

"Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Jeremmy Malajad keluar parti memang sudah dijangka dari awal tidak akan bertahan lama (bersama PKR) kerana falsafah politik berbeza selain terjadi permasalahan dengan ahli pembangkang dan mereka semua tidak serius kepada parti yang dilihat semakin kucar-kacir.


Antara mereka langsung tiada komunikasi dan perbincangan dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan PKR Sabah yang diketuai Datuk Seri Lajim Ukin terutama soal program pembangunan rakyat dan masyarakat setempat," katanya kepada Bernama di sini, .

Abdul Rahman yang juga anggota Parlimen Kota Belud mengulas tindakan Jeremmy yang juga Ketua Penerangan PKR Sabah mengumumkan keluar parti berkuat kuasa Isnin lepas dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong BN.

Pada Jumaat lepas turut menyaksikan Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Jelani Hamdan meletakkan jawatan yang disandangnya sejak September lalu.

Jelani yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Matunggong dilaporkan berkata keputusan meletak jawatan itu dibuat kerana tidak berpuas hati dengan cara pelantikan barisan pimpinan PKR Sabah.

Abdul Rahman berkata alasan pembangunan tidak berlaku di kawasan yang diwakili pembangkang tidak tepat kerana Kadamaian yang merupakan satu daripada kawasan DUN bagi Kota Belud tidak pernah dipinggirkan daripada arus pembangunan.

Beliau berkata kerajaan tidak mengabaikan mana-mana kawasan di negeri ini dan mereka yang bertindak keluar parti tidak harus menggunakan alasan pembangunan untuk bertindak sedemikian.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata rakyat harus membuka mata dengan melihat kepada cara pemikiran wakil rakyat yang jelas pendirian mereka bagi membawa masa depan yang baik pada masa depan.

"Setakat ini tiga ahli PKR keluar parti, ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam parti itu," katanya sambil menambah PKR kini akan memastikan pergolakan dalaman parti itu dalam kawalan bagi mengelak lebih ramai anggota parti mengambil tindakan sama.

Menurutnya, wakil rakyat seumpama itu yang bertindak menjadi anggota bebas biasanya tidak bertahan lama kerana tiada ideologi perjuangan yang konsisten.

Semalam Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dipetik sebagai berkata tindakan beberapa wakil rakyat meninggalkan parti masing-masing kebelakangan ini adalah bukti kesedaran pemimpin berkenaan bahawa mereka tidak berupaya membantu rakyat jika kekal sebagai pembangkang.

Sebelum ini, Adun Luyang Hiew King Cheu bertindak meninggalkan DAP pada 27 Sept lepas dan menjadi wakil rakyat Bebas.

No comments:

Post a Comment