KUALA LUMPUR 12 Nov - Sidang dewan rakyat pada hari ini gamat apabila Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran dihalau keluar oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin apabila cuba membangkitkan isu kuil di Jalan P. Ramlee yang dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut Pandikar, isu tersebut tidak perlu lagi dibangkitkan memandangkan beliau telah menerima penjelasan daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai kuil tesebut.
"Saya anggap isu ini selesai kerana saya telah diberitahu oleh Tengku Adnan mengenai isu ini dan tanah yang diambil adalah sah milik DBKL.
"Saya juga telah melihat bukti bergambar dan jelas menunjukkan pihak DBKL hanya merobohkan struktur di sekeliling kuil tersebut dan kuil itu tidak disentuh," katanya di dalam sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Semalam, Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansortelah memberi jaminan struktur utama Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman di Jalan P. Ramlee tidak akan dirobohkan.
Tengku Adnan berkata, malah pihaknya akan mencantikkan dan membina pagar bagi melindungi kuil berusia 101 tahun itu untuk memudahkan penganutnya melakukan upacara keagamaan.
Katanya, hanya struktur kantin dan restoran yang dibina secara haram di sebelah kuil itu yang akan dirobohkan.
No comments:
Post a Comment