Pages
Nuffnang
Friday, March 15, 2013
Suruhanjaya Diraja (RCI) Siasat DALANG Lahat Datu
SANDAKAN, 14 Mac (Bernama) - Malaysia tidak menolak kemungkinan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) atau membuka kertas putih bagi menyiasat dakwaan kemungkinan ada pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata siasatan menyeluruh perlu dibuat bagi mengenal pasti motif sebenar pencerobohan itu termasuk kemungkinan ada pihak yang membiayai militan dari selatan Filipina itu untuk menggugat keamanan dan kedaulatan negara.
"Siasatan lebih menyeluruh perlu untuk kita tahu apa sebenarnya yang berlaku...ini kami akan lakukan sama ada menggunakan RCI atau buka kertas putih.
"Saya sendiri pun hendak tahu dalang di belakang pencerobohan ini dan siapa yang membiayai atau merancang kerana ini semua menyentuh kepada keselamatan nasional," katanya.
Hishammuddin berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sandakan di sini, hari ini selepas mendengar taklimat berhubung situasi semasa di Sandakan oleh Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong.
Mengenai sama ada hasil siasatan itu akan didedahkan kepada umum, Hishammuddin berkata ia akan dibincangkan oleh pucuk pimpinan apabila perkara itu selesai kelak.
Mengulas keadaan keselamatan di Sabah, Hishammuddin berkata secara keseluruhannya keadaan bertambah baik termasuk di Tawau, Semporna dan Sandakan dengan keyakinan masyarakat umum terhadap ketenteraman di negeri itu semakin meningkat.
Mengenai Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM), Hishammuddin berkata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan beberapa pihak berkaitan akan berada di Sabah esok bagi meninjau keperluan tambahan bagi merealisasikan penubuhan kawasan itu yang memerlukan perancangan rapi.
Katanya penguatkuasaan di kawasan perairan timur Sabah juga akan ditingkatkan bagi menghalang kemasukan warga Filipina ke negeri itu termasuk kewujudan 'lorong-lorong tikus' yang memudahkan laluan mereka.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan kementerian itu kini bertanggungjawab menjaga perairan timur Sabah sepanjang 1,400km yang sebelum ini di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri.
Berhubung laporan penahanan 35 warganegara Filipina yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh bersenjata di Sabah oleh Unit peronda Tentera Laut Filipina semalam, Hishammuddin berkata Wisma Putra akan berhubung dengan Manila bagi menyelesaikan perkara itu.
"Wisma Putra akan berhubung dengan kerajaan Filipina kerana rakyat dia dan perairan dia," katanya.
Media Filipina semalam melaporkan unit peronda menahan kesemua suspek di dalam dua buah bot di perairan Tawi-Tawi sekitar jam 6.30 pagi semalam, di mana beberapa unit senjata dan bahan letupan turut dirampas dari bot yang dinaiki.
Hishammuddin dalam lawatan itu turut melawat dan berkongsi cerita dengan tiga anggota pasukan keselamatan yang cedera dalam Operasi Daulat di Lahad Datu dan sedang menjalani rawatan di Hospital Duchess of Kent di sini.
Dalam kejadian berbalas tembakan pada Sabtu lepas, dua anggota PGA dari Batalion Miri iaitu Lans Kpl Mohd Zariman Ibrahim dan Kpl Affendi Rusli mengalami kecederaan di betis dan paha.
Selain itu, Kpl Khairul Anuar Md Isa dari Rejimen ke-7 Askar Melayu Diraja (7RAMD) Kem Kukusan Tawau yang cedera di pipi dalam pertempuran di Sungai Nyamuk, Lahad Datu dimasukkan ke hospital itu semalam.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment