Nuffnang

Wednesday, March 27, 2013

Parlimen bubar automatik boleh dijadikan amalan



SEREMBAN 27 Mac - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan, Parlimen yang terbubar sendiri kerana habis tempoh mandat, boleh dijadikan amalan kerana mempunyai implikasi positif terutama dari segi pembangunan negara.

Ini kerana, katanya, kaedah itu dapat mengelakkan spekulasi tarikh pilihan raya umum yang sedikit sebanyak merencatkan kegiatan pelaburan di negara ini khususnya.

"Pada saya, cakap-cakap pasal pilihan raya ini tidak baik kerana pelabur asing dan dalam negara akan mengambil langkah tunggu dan lihat (sebelum buat (1/8)pelaburan) dan ini tidak baik kepada ekonomi negara," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini hari ini.

Katanya, langkah melambatkan pembubaran Parlimen atau membiarkannya terbubar sendiri juga membolehkan kerajaan memanfaatkan sepenuhnya tempoh lima tahun itu untuk membangunkan negara tanpa diganggu oleh perkara lain.

"Kalau memerintah tiga, empat tahun sudah cakap pasal pilihan raya, pening kepala, tak boleh buat kerja," katanya.

Parlimen penggal ke-12 akan terbubar secara automatik pada 30 April ini dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pula merupakan DUN pertama yang terbubar sendiri iaitu tengah malam ini.

Sementara itu, Mohamad berkata, beliau telah menghadap Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini bagi memaklumkan DUN akan terbubar secara sendiri esok dan memberi taklimat kepada baginda mengenai fungsi kerajaan sementara untuk menguruskan negeri.

Katanya, kerajaan sementara itu tidak akan membuat keputusan besar dan hanya meneruskan apa yang telah dilaksanakan sebelum ini selain mengurus soal kebajikan rakyat dan penjawat awam.

Mengenai prestasi kerajaan negeri, Mohamad berkata, beliau amat berpuas hati dengan prestasi semua anggota exco dan jabatan peringkat negeri sepanjang lima tahun meneraju negeri.

Katanya, banyak pencapaian memberangsangkan telah dinikmati dengan keberkesanan dasar-dasar yang diperkenalkan seperti Dasar Pelajaran, Dasar Jaringan Keselamatan Sosial dan Dasar Pembangunan Ekonomi.

"Dasar-dasar ini telah banyak memberi faedah kepada rakyat dan kita akan sambung dasar-dasar ini jika kerajaan Barisan Nasional terus diberi kepercayaan untuk mentadbir negeri pada penggal ke-13 nanti," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment