Pages
Nuffnang
Friday, March 29, 2013
MOHON ISYTIHAR PRU LEWAT
Sudah acap kali khalayak di dendangkan dengan propaganda pembangkang yang mendakwa Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak takut untuk membubarkan Parlimen kerana bimbang dengan kekuatan PR.
Propaganda sedemikian sedikit sebanyak termakan juga oleh sesetengah penyokong PR menyebabkan mereka lupa bahawa empat buah negeri yang dikuasai PR iaitu Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang hingga sekarang belum ada satu pun yang di bubarkan.
Walhal, jika PR merasakan PM takut membubarkan Parlimen, logiknya PR yang kelihatan seperti sudah tidak sabar untuk menghadapi pilihan raya patutnya sejak berbulan-bulan lalu sudah mengambil inisiatif sendiri segera membubarkan DUN di semua negeri PR, bukan begitu?
Bagi BN pula, soal bila Parlimen akan dibubarkan tidak pernah menjadi isu apatah lagi untuk dipropagandakan.
Jika 6 bulan lepas atau sebulan lalu mahupun esok atau lusa Parlimen dibubarkan, berdasarkan kaji selidik dan trend sokongan rakyat kepada BN, tiada masalah untuk BN mendapat hampir 2/3 kerusi Parlimen atau lebih sedikit.
Tapi disebabkan tumpuan utama tetap fokus untuk bekerja untuk rakyat, selagi masa masih berbaki selagi itu kerja buat dan jasa bakti terus dilaksanakan. Lagi semakin lama PR berteka-teki lebih bagus untuk BN sementelah di waktu kritikal ini makin ramai pemimpin PR yang pancit sebelum wisel permulaan ditiupkan.
Hakikatnya, tujuan sebenar PR menghambur celaan, sindiran dan propaganda mengenai isu pembubaran Parlimen tujuannya sekadar untuk mewujudkan persepsi kononnya PR benar-benar kuat. Dengan demikian, masalah pertelingkahan sesama sendiri dalam PR akan terkalih dari perhatian umum.
Menariknya di sebalik propaganda itu semua, ada sumber dalaman PR memberitahu semua keempat-empat negeri yang diperintah oleh gabungan tidak berdaftar itu telah mencapai kata sepakat untuk membubarkan DUN hanya selepas Parlimen dibubarkan.
Tarikh yang telah mereka sepakati ialah 22 April 2013. Persoalannya kenapa 22 April 2013, mengapa tidak dua tiga bulan lalu atau sebelum bulan Mac 2013 berakhir?
Ada muslihatnya. PR menjangkakan Parlimen mungkin akan dibubarkan pada seawal April 2013, jadi bila Parlimen di bubarkan semua negeri yang dikuasai PR tidak akan turut sama membubarkan DUN.
Dengan lain perkataan, PR mahu membubarkan DUN lewat dari pembubaran Parlimen dan proses pengundian pula akan dijalankan selepas selesai pengundian di negeri-negeri lain.
Mereka percaya langkah ini dapat mengurangkan risiko kalah teruk dan mengurangkan impak terhadap prestasi PR di DUN-DUN negeri yang sedang dikuasai sekarang.
Perkhabaran ini tidak mengejutkan kerana sudah lama PR memberi bayangannya tetapi cuba diselubungi dengan propaganda kononnya BN pula yang takut berdepan dengan penghakiman rakyat. Realitinya yang takut tewas dan ditolak rakyat ialah PR.
Sebab itu di Selangor, Menteri Besarnya sering berdolak-dalik sekejap kata mahu bubar DUN selepas Chap Goh Mei, sekejap panggil sidang akhbar untuk pembubaran kemudian tiada pengumuman dilakukan, alih-alih semuanya hanya gempak sahaja bertujuan untuk mengaburi mata umum dari mengesan ketakutan PR berdepan dengan PRU 13.
Walau apa pun, PRU 13 tetap akan tiba jua bila sampai masanya, apa sahaja taktikal strategi atau game plan yang dimainkan oleh PR, kata putus bila tarikh pengundian sama ada serentak atau berasingan tetap di tangan SPR selaku badan bebas yang mengendalikan pilihan raya
GAP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment