Nuffnang

Wednesday, March 20, 2013

40% calon veteran gugur #PRU13



Barisan Nasional (BN) akan mengguggurkan 40% calon veteran pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) untuk memberi laluan kepada muka-muka baru.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat pelarasan senarai calon pada saat akhir telah mengenal pasti beberapa calon veteran untuk digugurkan dengan segelintir daripadanya tampil secara sukarela untuk tidak bertanding.

BN mempunyai seramai 141 ahli Parlimen dengan 75 daripadanya memegang jawatan tersebut lebih tiga penggal.

Sumber berkata, tidak kesemua kerusi mereka akan diganti tetapi Perdana Menteri mahu menurunkan beberapa muka baru sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Politik.

Empat menteri kabinet yang telah memegang jawatan tersebut setelah sekian lama antara yang akan mengundur diri untuk memberi laluan kepada muka baru.

Antaranya bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz (Kuala Kangsar), bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid (Padang Besar), bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (Kangar) dan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Ong Ka Ting (Kulai).

Rafidah antara yang terawal memaklumkan hasratnya untuk tidak bertanding kepada Najib.

Radzi dan Azmi telah memberitahu Najib bahawa mereka ingin bersara.

Ong dikatakan akan meneruskan peranannya sebagai duta khas ke China.

Beberapa pemimpin veteran yang menyuarakan kesediaan mereka untuk tidak bertanding adalah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi (Kepala Batas) dan Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar (Kota Tinggi).

Bagaimanapun, menurut sumber, Najib perlu memutuskan sama ada menerima tawaran itu kerana 'tiada calon pengganti sesuai' ditemui.

Seorang lagi bekas menteri kabinet, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ahli Parlimen Pengerang mungkin antara calon yang digugurkan tetapi kontroversi mengenai pembangunan Petronas di kawasan tersebut menyebabkan beliau bakal dicalonkan semula.

Sumber berkata Najib mungkin mengekalkan Azalina supaya beliau boleh menjelaskan kepada penduduk di kawasan tersebut mengenai kepentingan projek bernilai RM61.4 bilion itu.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui yang juga Presiden SUPP dan memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Miri selama enam penggal berkata, beliau akan terus bertanding sekiranya Najib ingin beliau berbuat demikian.

Dua lagi Ahli Parlimen senior yang akan bersara adalah bekas Menteri Sumber Manusia Tan Sri Dr Fong Chan Onn (Alor Gajah) dan bekas Menteri Pelancongan Datuk Seri Leo Michael Toyad (Mukah).

Tiga bekas Timbalan Menteri yang dijangka tidak akan dicalonkan adalah Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Seri Sulaiman Taib.

Mereka masing-masing merupakan Ahli Parlimen Jerantut, Parit Sulong dan Kota Samarahan.

- mSTAR

No comments:

Post a Comment