Nuffnang

Tuesday, November 8, 2016

#paritbuntar Pencuri larikan RM14,000 selepas pura-pura kena langgar


PARIT BUNTAR: Dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal “naik berang” selepas “terjatuh” seolah-olah dilanggar sebuah kereta dipandu seorang pengurus Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) semalam.

Melihat lelaki berkenaan membawa batang besi, pengurus itu keluar menyelamatkan diri ke sebuah surau, tanpa membawa wang kutipan sebanyak kira-kira RM14,000 diletak dalam kenderaan itu.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata kejadian pada 11.15 pagi itu berlaku di hadapan Surau Haji Taib, Jalan Terusan.

Ketika itu, mangsa berusia 26 tahun baru selesai mengutip wang ansuran AIM berjumlah RM14,552 daripada ahli dalam satu pertemuan di surau tersebut.

“Sebaik mangsa beredar dari surau dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios berwarna biru, tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah belakang dan meluru ke hadapan kenderaan mangsa sebelum berpura-pura jatuh.

“Terkejut dengan kejadian itu, mangsa segera mengundurkan keretanya untuk menjauhkan diri dari motosikal dinaiki dua suspek, namun suspek bangun dan terus memukul cermin hadapan kereta mangsa dengan menggunakan sebatang besi padat berkarat,” katanya.

Menurutnya, mangsa terus berlari masuk ke kawasan surau tanpa membawa beg berisi duit kutipan itu yang diletakkan di ruang kaki di tempat duduk penumpang hadapan.
“Suspek kemudian melarikan diri ke arah jalan menghala Simpang Lima manakala mangsa keluar semula dari surau dan memeriksa kembali keadaan keretanya.

“Dia mendapati beg galas berisi duit berjumlah RM14,552 lesap dilarikan suspek, manakala dua keping cermin (tingkap) tempat duduk penumpang hadapan dan belakang kiri serta pintu bahagian pemandu dirosakkan,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata siasatan awal polis mendapati tujuh cap jari dikesan di atas permukaan bonet dipercayai milik suspek dan akan dihantar ke Bukit Aman untuk mengenal pasti identiti suspek.
“Siasatan lanjut akan diteruskan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan polis menyeru mana-mana saksi mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.







No comments:

Post a Comment