Nuffnang

Tuesday, December 8, 2015

Saya akan terus galas AMANAH ini - @najibrazak

Walaupun terbeban dengan pelbagai cabaran dan ujian dalam kerajaan mahupun parti, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap tenang menghadapinya.
Dalam wawancara dengan media di pejabatnya di Putrajaya semalam menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2015, Najib menjawab dengan jelas dan tegas semua persoalan termasuk isu panas 1MDB, derma RM2.6 bilion serta hubungannya dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ikuti wawancara khas Najib dengan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Pengarah Urusan Kumpulan Rangkaian Televisyen dan Radio Media Prima, Datuk Seri Mohd. Ashraf Abdullah dan Pengarang Urusan Kumpulan NST, Datuk Abdul Jalil Hamid.




SOALAN: Bagaimana persediaan Perhimpunan Agung UMNO 2015 terutama apabila diadakan dalam format berlainan dan UMNO juga berdepan dengan beberapa isu?

NAJIB: Saya bersedia dan segala persiapan untuk perhimpunan agung nampak berjalan dengan baik dan lancar. Perhimpunan ini sa­ya harap akan kita jadikan satu platform yang kita boleh menguatkan semangat, iltizam ahli-ahli parti untuk terus berjuang memperlihatkan UMNO sentiasa relevan. UMNOlah parti yang boleh menjamin masa depan Malaysia yang tercinta ini dan UMNO juga parti yang orang Melayu bumiputera boleh bergantung harap.
Apakah perhimpunan kali ini paling mencabar kepada Datuk Seri sebagai Presiden?
NAJIB: Setiap perhimpunan agung ada cabarannya. Walaupun cabaran yang berlaku pada setiap perhimpunan itu berlainan, misal­nya tahun lalu soal Akta Hasutan merupakan isu utama. Pada tahun ini isunya berlainan, namun barangkali kalau dilihat suhunya, kepanasan politik tahun ini lebih mencabar berbanding tahun sudah.
Namun dalam sejarah perjuangan parti kalau kita menyorot kembali pada perhimpunan dulu, ia le­bih panas daripada tahun ini. Jadi saya menganggap ini asam garam dalam politik. Sebagai Presiden parti saya akan tangani apa jua cabaran dengan kesungguhan dan kebijaksanaan supaya parti akan muncul daripada perhimpunan ini dengan kekuatan yang baharu, insya-Allah.

Ada tanggapan me­nga­takan UMNO tidak lagi demokratik, tidak boleh bersuara, adakah ini benar?

NAJIB: Ini tidak benar sebab mereka lupa bahawa sayalah Presi­den parti yang telah mengubah Perlembagaan UMNO. Saya dipilih oleh 160,000 perwakilan di pering­kat akar umbi. Maknanya kalau dulu dalam Perlembagaan UMNO, sesiapa nak bertanding jawatan Presiden mesti dicalonkan oleh 63 bahagian. Cuba bayangkan tentu sekali amat sukar sesiapa yang ingin lawan Presiden untuk memperoleh 63 pencalonan. Jadi saya memberanikan diri mansuhkan peruntukan tersebut agar UMNO lebih demokratik, lebih terbuka kerana saya ingin menjadi seorang Presiden yang dipilih oleh perwakilan yang jauh lebih ramai daripada mereka yang ada di dalam Dewan Merdeka atau pun ada syarat-syarat seperti kuota untuk bertanding. Kalau saya nak pilih jalan mudah, saya kekalkan Perlembagaan lama tetapi saya berpendirian UMNO harus le­bih terbuka dan demokratik.

Apabila persidangan sayap-sayap tidak dibuka oleh Timbalan Presiden, ini juga menimbulkan persepsi dan tanggapan bahawa parti sekarang sudah menjadi ‘parti Najib’.

NAJIB: Tidak, sebenarnya hasrat ahli Majlis Tertinggi apabila mem­buat keputusan tersebut. Per­tamanya, cadangan itu datang daripada ketua-ketua sayap sama ada Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah mengeluarkan cadangan terlebih dahulu di peringkat Exco masing-masing dan bersetuju untuk bawa ke Majlis Tertinggi.
Kedua, Majlis Tertinggi membincangkan perkara ini, yang kita lihat bahawa ini merupakan konvensyen. Ini bukan soal dalam Perlembagaan. Yang kita nak utamakan ialah mesej kepada perhimpunan itu. Bukan bererti kita hendak mengongkong ahli daripada berbincang, bersuara, pendapat atau sebagai­nya. Tetapi kita nak mesej itu, mesej yang satu sahaja atas nama kepemimpinan parti supaya ahli-ahli tidak akan berserabut dari segi fikiran mereka. Supaya mereka tahu tentang hala tuju, apa yang perlu dilakukan dengan isu-isu semasa sebab kita mahu berdepan dengan pilihan raya. Sehubungan itu parti mesti bersatu, parti mesti kukuh, parti tidak boleh berserabut, parti mesti dilihat sebagai satu pasukan yang jitu. Jadi itulah hasrat kita bahawa perhimpunan ini dalam apa jua keadaan mesti dilihat sebagai satu usaha untuk mengukuhkan perpaduan dan kekuatan parti.

Kita tahu tentang konspirasi ingin menjatuhkan Datuk Seri baru-baru ini tetapi Datuk Seri tidak banyak bercakap mengenai­nya.

NAJIB: Mungkin ada pelbagai pendapat tentang hal ini. Saya tak nak sebut secara jelas perkara ini sebab mungkin bergantung pada beberapa andaian atau pun persepsi atas apa yang telah berlaku. Yang pentingnya saya mesti menunjukkan bahawa saya tidak melakukan kesalahan dan kalau saya tidak melakukan kesalahan, saya di pihak yang benar dan bukan sahaja dari segi undang-undang tetapi moral. Itu yang penting bagi saya.


Adakah isu ekonomi akan dapat perhatian pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini terutama kos sara hidup?

NAJIB: Saya amat sedar dan mengetahui bahawa ini merupakan isu utama dalam kalangan rakyat malah kalau kita buat kajian isu ini lebih besar daripada isu 1MDB dan RM2.6 bilion. Sebab ini isu yang dekat di hati rakyat. Soal kos sara hidup yang dinyatakan meningkat, ia ada kaitan dengan kedudukan nilai mata wang kita. Kalau kita lihat kedudukan nilai mata wang Malaysia, ini adalah disebabkan tiga faktor utama. Satu, kejatuhan harga minyak begitu ketara sekali sehingga semalam kita lihat harga minyak berada pada paras AS$42, AS$43 setong. Setahun lebih dahulu AS$110 dan ini menyebabkan tekanan kepada mata wang kita. Kedua, ekonomi China yang menguncup perlahan, pertumbuhan yang lebih perlahan dan juga langkah Amerika Syarikat yang mungkin menaikkan kadar faedahnya.
Ini semua menjejaskan negara ekonomi membangun, maknanya ia berada di luar kawalan kita. Jadi tidak boleh kerajaan dipersalahkan, macam krisis kewangan 1997. Kebanyakan faktor itu luar daripada kawalan kita, jadi kita telah melalui krisis yang lebih buruk lagi dulu. Sekurang-kurangnya hari ini ekonomi kita masih berkembang hampir lima peratus. Sekurang-kurangnya bilangan pekerjaan masih boleh te­rus bertambah. Jadi kita pun boleh menolong rakyat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan beberapa langkah yang lain yang telah kita lakukan. Jadi kerajaan akan cuba melakukan sedaya upaya kita tetapi yang saya hendak nyatakan di sini, kita mempunyai kekangan sebab tahun hadapan hasil negara akan berkurangan sebanyak lebih RM39 bilion apabila harga minyak jatuh. Ini menyebabkan kemampuan kita untuk melakukan lebih daripada yang boleh atau pun kita lakukan pada masa ini, ada hadnya.

Apakah agenda perhimpunan agung lalu sudah tercapai ?

NAJIB: Ya, ada. Boleh katakan aku janji pilihan raya berjalan baik. Kita telah melaksanakan hampir semua aku janji kita. Sebab itu kita akan membuat sedikit pameran pada Perhimpunan Agung UMNO 2015, di luar Dewan Merdeka untuk memaparkan pencapaian yang kita telah dapat lakukan berdasarkan pada aku janji pilihan raya yang lalu. Ada yang dalam proses misal­nya janji kita dalam bidang perumahan, ia dalam proses. Ia tidak boleh siap dalam masa dua tahun sepenuhnya tetapi yang pentingnya kita telah pun ambil tindakan dan komitmen kita itu dapat kita lihat.

Tiga tahun lagi kita akan menghadapi PRU Ke-14 dan Tun Dr. Mahathir berpendapat Datuk Seri adalah liabiliti kepada parti. Apakah Datuk Seri yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) boleh mengekalkan kemenangan?

NAJIB: Saya tetap yakin, insya-Allah kita boleh mencapai kejayaan sebab kalau kita lihat alternatif yang ada sekarang ini, pembangkang berada dalam keadaan yang lebih kucar-kacir dan kepemimpinan mereka pun tidak begitu menentu. Saya rasa mereka pun ada masalah untuk menentukan pemimpin utama yang boleh memimpin mereka.
Walaupun saya akui mungkin kedudukan kita menurun sedikit disebabkan isu-isu yang dipermainkan oleh pihak tertentu tetapi kita ada masa lagi untuk berusaha dan salah satu daripada cabaran kita ialah media sosial. Media sosial ini yang mempengaruhi pemikiran rakyat dan itu menyebabkan kita berhadapan dengan cabaran yang lebih besar berbanding pada masa lalu.

Apa yang paling mengganggu fikiran Datuk Seri pada perhimpunan kali ini?

NAJIB: Saya mahu parti kita padu, saya tak nak ada keadaan yang lihat bahawa parti kita seolah-olah bercelaru keadaannya dan kita ini tidak sehaluan. Bukan bererti saya ingin mengongkong pendapat yang berbeza dalam parti tetapi perpaduan itu penting. Bekerja sebagai satu pasukan itu penting dan kalau kita dapat merapatkan barisan kita, saya percaya tiada sebab mengapa UMNO tidak boleh terus berjaya.

Apa pandangan Datuk Seri tentang pelabur asing lebih yakin pada ekonomi Malaysia se­perti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi laporan yang bagus tetapi orang Malaysia sendiri merasakan pengurusan ekonomi kita gagal?

NAJIB: Sebenarnya orang yang mengeluarkan pendapat sedemikian tidak mengatakannya dengan fakta yang sebenar, sebab kalau kita tengok badan-badan seperti Bank Dunia, IMF dan juga badan-badan penarafan seperti Moody’s, Standard and Poor’s mereka datang melawat Malaysia bukan untuk sehari dua tetapi kadangkala untuk tempoh yang lama dan mereka berjumpa dengan pelbagai pihak, Mereka minta fakta. Mereka minta angka dan sebagainya dan baru mereka membuat kesimpulan. Semua badan ini memberi penarafan dan memberi kesimpulan yang sama ada mengekalkan penarafan mereka atau pun menjadikan penarafan mereka itu lebih positif.
Tiada langkah untuk downgrade Malaysia tetapi kalau kita tengok pada suara-suara sumbang dalam media sosial dan beberapa pihak yang lain, tidak sepatutnya mereka ini memberi penarafan yang negatif atau pun downgrade Malaysia. Inilah yang kita mesti beritahu pada rakyat bahawa banyak yang telah dilakukan oleh kerajaan tetapi tahap apresiasi mungkin tidak setimpal dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan.

Macam mana hubungan Datuk Seri dengan Timbalan Perdana Men­teri?

NAJIB: Saya baik dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebab dia sudah kenal dengan saya telah lama. Dalam Pemuda dan sebagai Setiausaha Politik saya dahulu. Jadi saya lihat bahawa ini penting, kalau kerajaan perlu suarakan aspirasi rakyat dan aku janji kita pada rakyat, dua jawatan utama dalam kerajaan, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mesti bekerjasama dengan penuh keyakinan antara satu sama lain. Itu kunci kepada kejayaan Malaysia. Sebagai sebuah kerajaan, saya anggap ini perkara yang perlu wujud malah Dr. Mahathir juga pernah mengambil tindakan terhadap timbalannya. Jadi saya percaya dan yakin beliau lebih faham mengenai perkara ini.

Kalau kita tengok di peringkat cawangan sudah ada yang mengkritik, meminta Datuk Seri melepaskan jawatan.

NAJIB: Kita ada 20,000 lebih cawangan UMNO dan saya percaya majoriti besar masih yakin pada saya pada pimpinan parti dan kerajaan. Apa telah berlaku boleh katakan hampir setiap bahagian, beberapa cawa­ngan juga tidak puas hati dengan kepemimpinan bahagian mungkin ada pihak bertanding bahagian yang kalah dan sebagainya. Jadi mereka yang tidak puas hati itu yang cuba mempengaruhi untuk membuat ke­nyataan dan berkumpul untuk meluahkan rasa tak puas hati. Tetapi jika kita nak kumpulkan, kita masih lagi dapat kumpulkan jauh lebih ramai penyokong kepada pimpinan sedia ada.

Bagaimana Datuk Seri menangani tekanan yang dihadapi setiap hari dan memastikan momentum kekal dalam melayari bahtera?

NAJIB: Saya menggalas amanah dan saya tidak akan membiarkan mana-mana pihak yang melemparkan kritikan yang saya tahu tidak berasas tetapi mungkin ada motif tertentu sebab kerusi Perdana Menteri ini ada satu sahaja. Dalam sejarah tanah air kita setiap Perdana Menteri memang tidak akan sunyi daripada menghadapi cubaan untuk menjatuhkannya. Dalam sejarah kita, kita melihat pada 1987, Dr. Mahathir menang dengan cuma 43 undi sahaja. Jadi ini bukan perkara baharu, setiap pemimpin akan hadapi pelbagai cabaran tetapi ini ujian kepimpinan kita. Ujian inilah yang perlu saya lalui. Mudah-mudahan saya dapat teruskan amanah ini dengan sokongan parti sebab banyak lagi tugas kita untuk negara, untuk parti yang kita mahu sempurnakan.

Datuk Seri dilihat media asing sebagai reformis apabila menjadi Perdana Menteri, tetapi sekarang dilihat menindas contohnya pengenalan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara baru-baru ini yang dikata bukan disasar kepada pengganas tetapi ahli politik.

NAJIB: Ia masih berjalan dan banyak yang kita jangkakan untuk menjadikan negara kita lebih demokratik dan terbuka umpamanya pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Tetapi kalau kita merupakan seorang yang pakar melakukan sesuatu ancaman dalam bentuk tindakan keganasan, tanggungjawab saya se­bagai pemimpin negara untuk me­lakukan apa sahaja yang saya mampu untuk tidak membenarkan perkara itu berlaku misalnya di Amerika Syarikat sekarang ini. Presiden Barack Obama dipertikaikan sebab berlaku tembakan menyebabkan 14 orang mati di Ca­lifornia dan mungkin ada peristiwa-peristiwa yang lain di Paris tetapi di Malaysia tidak berlaku apa-apa kejadian se­perti itu sebab kita ada tindakan yang proaktif. Yang inilah saya utamakan. Jangan biar sesuatu kejadian dalam bentuk keganasan berlaku. Sebab kalau sudah berlaku, buruk padahnya.
Jadi apa yang kita buat dengan undang-undang baharu ini, semata-mata untuk menjaga rakyat Malaysia terselamat. Itu sahaja yang saya lakukan sebab tidak boleh pandang ringan perkara ini misalnya ancaman kumpulan tertentu dari selatan Fili­pina. Kejadian seperti di Lahad Datu, bukan sesuatu yang tak boleh berlaku sekali lagi tetapi kalau kita berwaspada dan ambil langkah proaktif insya-Allah kita boleh hindarkan perkara itu daripada berulang.

Adakah Malaysia ter­lalu menjurus dalam political thin­king sehingga kemungkinan boleh menjejaskan agenda pembangunan negara kita?

NAJIB: Ya, mungkin terlalu banyak political thinking kita lihat dalam Malaysia terutama sekali mereka yang menggunakan media sosial. Apa yang berlaku sekarang ini kurang tentang perkara baik yang dilakukan oleh kerajaan.
Kedua, kecenderungan pihak-pihak tertentu keluarkan pendapat yang negatif yang kontra walaupun mereka bukan pakar dalam bidang tersebut. Mereka anggap diri mereka pakar. Macam-macam pendapat yang dikeluarkan dan kita patut sedar ini merupakan pendapat. Ini bukan fakta sebenarnya dan ini bukanlah mencerminkan pendapat majoriti. Ini berlaku dalam suasana politik tanah air.

Nasihat kepada perwakilan.

Saya berharap perwakilan memberi keyakinan sebab suasana da­lam perhimpunan ini dipantau bu­kan hanya di luar dewan tetapi dilihat mereka di luar negara. Jadi imej parti itu penting dan kita mesti menunjukkan bahawa kita ini parti yang berkuasa, bermakna parti yang bertanggungjawab dan kita menjaga kepentingan parti kita dan sentiasa mahu parti kita dihormati.

Isu Muhyiddin: Timbalan mesti selari dengan Presiden

Bagaimana Datuk Seri melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO tetapi pada masa sama mengeluarkan kritikan terhadap Datuk Seri?

NAJIB
: Saya seperti juga Presiden dan Perdana Menteri sebelum saya, berpegang kepada prinsip bahawa Timbalan Presiden, Timbalan Perdana Menteri mesti selari dengan Presiden parti. Kita nak bekerjasama dengan timbalan, seorang timbalan itu mestilah selari dengan apa kita nak lakukan, apa keputusan kita  dan bekerjasama dengan penuh keikhlasan dan kesetiaan dalam mengemudikan parti kita. Tetapi itu bukan bererti sebagai timbalan, Tan Sri Muhyiddin tidak boleh berbeza pendapat dengan saya.

Saya bersikap terbuka dalam forum tertentu dan dalam perjumpaan tertentu Presiden dan timbalan boleh berbincang. Kita boleh tidak bersetuju pun tetapi apabila kita berdepan dengan orang ramai kita mesti mempertahankan keputusan yang dibuat oleh parti. Dan inilah yang saya nak tegaskan, ini adalah prinsip asas dalam mana-mana organisasi, kerajaan atau pertubuhan. Kita perlu seorang sahaja yang jadi ketua tetapi mesti bersikap terbuka, menerima pelbagai pendapat. Tetapi apabila keputusan telah dibuat, semua dalam parti itu mesti mempertahankan keputusan tersebut.

Antara kritikan Muhyiddin ialah tentang isu 1MDB, apakah beliau tidak diberikan penjelasan atau tiada platform untuk mendapatkan penjelasan ?

NAJIB
: Isu 1MDB telah pun diberikan taklimat kepada Kabinet dan sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau berhak memanggil pengurusan 1MDB, Lembaga Pengarah 1MDB untuk mendapatkan penjelasan. Jadi tiada alasan sebenarnya beliau tidak mendapat maklumat sepenuhnya tentang isu 1MDB, malah sekarang ini kita buat macam-macam majlis penerangan yang diberikan oleh Ketua Eksekutif 1MDB. Jadi isu 1MDB sepatutnya diketahui segala-galanya. Kalau tidak pun, beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu boleh minta maklumat tambahan, penjelasan lanjut dan sebagainya.

Beliau juga tidak meminta penjelasan daripada Datuk Seri?

NAJIB
: Kita ada bincang juga soal 1MDB dan dia ada beberapa pendapat tetapi saya telah pun menjelaskan kepadanya pendirian kita. Jadi pada akhirnya saya sebagai Perdana Menteri kena buat keputusan. Keputusan itulah yang saya telah beritahu pada Kabinet bahawa kita ada pelan rasionalisasi bagi menyelesaikan masalah 1MDB. Masalah 1MDB ialah kerana 1MDB telah dipolitikkan. Bukan kerana ia tiada aset. Ada hutang, tetapi aset melebihi hutang dan kita ada pelan rasionalisasi dan keadaan itu mungkin tidak berlaku kalau IPO pada November 2014 dapat kita lancarkan. Tetapi apabila sentimen terlalu negatif, apabila isu ini telah dipolitikkan, suasana pada masa itu tidak menggalakkan pelabur untuk membeli saham 1MDB.

Apabila kita tidak lancarkan, hutang tidak dapat kita kurangkan.
Dan apabila pelan rasionalisasi 1MDB kita umumkan dan saya kata berilah tempoh masa untuk kita membuktikan bahawa masalah 1MDB boleh diselesaikan. Maka Kabinet bersetuju dan saya pernah membuat pengumuman secara terbuka dan kita dalam proses untuk menyelesaikan masalah 1MDB. Kita dapat lihat bahawa ada tanda-tanda memang isu ini boleh diselesaikan terutama sekali apabila Edra telah dijual dan jumlah hutang dengan penjualan tersebut susut lebih kurang  RM17 bilion.

Derma RM2.6 bilion

Salah satu isu  ialah derma RM2.6 bilion. Apakah  Datuk Seri tidak rasa ragu dan bersalah?

NAJIB:
 Sangat jelas, saya tidak melakukan kesalahan dari segi undang-undang atau dari segi amalan. Perkara ini telah pun dijelaskan dalam Parlimen oleh Timbalan Perdana Menteri. Saya nak mengulangi bahawa ada beberapa aspek yang perlu diketahui. Pertamanya RM2.6 bilion itu bukan duit awam dan bukan duit 1MDB dan perkara ini telah pun disahkan oleh SPRM. Kedua, penderma telah pun disahkan dan ditemui oleh SPRM dan SPRM telah pun mengambil kenyataan. Ketiga, waktu akaun ini diwujudkan, Bank Negara telah dimaklumkan jadi tidak ada niat sama sekali untuk menipu atau melakukan sesuatu sebab Bank Negara telah pun dimaklumkan tentang kewujudan akaun ini, Keempat, penderma tidak ada apa-apa niat untuk mendapatkan balasan atau timbal balas, Penderma tidak anggap benda ini rasuah tetapi ini donation dan sebagai gift, kalau sebagai derma, ini tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang.

Duit dimasukkan dalam akaun peribadi Datuk Seri?

NAJIB
: Ya, itu atas kehendak penderma. Dia derma pada saya secara peribadi. Sebab itu akaun itu atas nama saya. Tetapi jangan salah, akaun itu atas nama saya tetapi tidaklah dianggap akaun peribadi saya, itu bukan kegunaan peribadi. Saya yakin bahawa setelah siasatan berjalan sepenuhnya, kebenaran akan timbul pada kesudahannya.

Hubungan dengan Dr. Mahathir
Jadi kalau ada desakan berterusan daripada Dr. Mahathir antaranya meminta Datuk Seri berundur, tidak akan dilayan?

NAJIB
: Soal undur tidak undur, ini ada hak mengikut Perlembagaan parti dan Perlembagaan negara. Saya sebagai seorang yang percaya kepada prinsip demokrasi berparlimen. Kita ada dua cara, satu melalui pilihan raya. Maknanya apa pun, apabila sampai pada masanya, rakyatlah yang memilih, 14 atau 15 juta rakyat Malaysia memilih siapa dan parti mana yang patut memerintah dan (satu lagi) waktu pemilihan dalam parti.
Jadi ada dua kaedah dan kaedah lain adalah kaedah yang tidak ikut prinsip Perlembagaan. Inilah yang penting kita mesti ikut prinsip Perlembagaan.
Kalau kita ikuti tulisan Dr. Mahathir, kita akan tahu beliau sering menukar dakwaan contohnya RM22 bilion menjadi angka lain dan mengakui semua tuduhan adalah dakwaan belaka, tetapi adakah Datuk Seri khuatir ada ahli UMNO terperangkap dalam permainan dakwaan itu.
NAJIB: Ya, mungkin ada sebab kita mesti faham bahawa apa yang disebut Tun Mahathir itu adalah pendapat dia, andaian dia, melainkan dia ada bukti. Kita ambil dakwaan yang pertama RM42 bilion yang dikatakan hilang dan lesap. Sehingga hari ini dia tidak boleh mengeluarkan bukti dan semalam dia mengakui dia tidak ada bukti. Kalau RM42 bilion dah lesap, masakan kita boleh jual Edra dengan nilai RM17 bilion, boleh jual tanah TRX dan boleh ada tawaran lumayan untuk membangunkan bandar Malaysia.
Jadi semua ini sebenarnya tidak ada asas bukti dan sebab itu kita tetap pertahankan apa yang kita lakukan. Sebab itu kita pulihkan 1MDB kerana kita nak supaya imej negara kita dibetulkan sebab telah berlaku apa yang dikatakan kemusnahan reputasi dengan kenyataan-kenyataan seperti itu. Ini merosakkan imej negara kita, bukan sahaja 1MDB.

Mengapa Dr. Mahathir amat marah dengan Datuk Seri. Adakah soal 1MDB?

NAJIB:
 Tidak tahulah. Boleh tanya kepada Dr. Mahathir sendiri. Tetapi  pada tanggapan saya bukan soal 1MDB. Satu ketika dahulu dia pun selalu berjumpa saya, nampak ada banyak dia tidak bersetuju dengan keputusan saya atau ada perkara yang dia nak, saya tidak buat.
Jadi saya dapat simpulkan bahawa Dr. Mahathir, dia nak seorang Perdana Menteri yang cakap mudahnya, ikut cakap dialah. Kalau ikut cakap dia mungkin saya Perdana Menteri yang amat baik. Apatah lagi apabila dicadangkan diwujudkan Council Elders yang tidak pernah dalam sejarah negara kita dan mana-mana negara pun iaitu ada Council Elders yang mengatasi kuasa Kabinet dan Majlis Tertinggi dan tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan sama sekali.
Sebab itulah bukan saya tidak hormat dia sebagai seorang negarawan tetapi saya berpegang kepada prinsip bahawa saya adalah Perdana Menteri yang sah diplih oleh rakyat. Saya juga Presiden yang dipilih oleh parti. Saya berhak untuk mentadbir negara dan parti mengikut pendapat saya yang sebaik mungkin untuk negara dan parti. Saya bukanlah seorang pemimpin yang tidak mendengar pandangan, tidak mendengar nasihat, tetapi pada  kesudahannya saya  mesti membuat keputusan atas apa yang saya fikir yang terbaik untuk negara dan parti.

Sekian lama Dr. Mahathir tidak lagi mengkritik pembangkang, sekarang kritikan tertumpu kepada Datuk Seri?

NAJIB
: Sebagai anggota parti sepatutnya kita menjaga kepentingan parti maknanya kita mempertahankan parti dan menyerang pembangkang. Tetapi apa yang dilakukan Dr. Mahathir sebaliknya. Macam mana pun kita perlu perjelaskan kepada rakyat dan anggota parti kita setiap kali dibangkitkan sesuatu isu. Kita bagi penjelasan supaya rakyat tidak terkeliru.
Alhamdulillah dalam Parlimen baru-baru ini bajet negara telah diluluskan dan kita tengok ada parti pembangkang pun keluar beberapa kenyataan yang boleh dikatakan agak positif kepada kerajaan. Ada yang tidak sokong pembangkang dalam undian Dewan Parlimen atas kelulusan Bajet. Ini menunjukkan bahawa parti yang ada hari ini ada majoriti selesa dalam Parlimen. Sekarang ini kita mesti yakin dalam diri kita bahawa kalau kita dapat beri penjelasan kepada rakyat dan kalau dapat menjernihkan suasana dan membetulkan sentimen, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh berjaya dalam pilihan raya akan datang.

Apa pandangan mengenai tindakan Dr. Mahathir atau Muhyiddin yang dilihat sebagai untuk menyelamatkan parti dan menjaga kepentingan UMNO?

NAJIB
: Itu pendapat mereka tetapi hakikatnya kedudukan kita boleh bertambah baik lagi dan saya lihat sehari dua ini pun ada tanda-tanda bahawa keyakinan terhadap kerajaan sudah menunjukkan ada tanda yang positif. Saya percaya kalau isu-isu ini dapat kita selesaikan dalam masa terdekat, kedudukan kita boleh bertambah positif lagi. Tetapi saya tidak anggap ini sebagai satu keadaan yang terlalu selesa bagi kita tetapi kita mesti mempunyai strategi untuk memulihkan keadaan dan mara ke hadapan. Inilah yang saya anggap sebagai tugas parti, tugas saya sebagai Presiden parti untuk pastikan bahawa apa yang kita rancangkan nanti dan strategi-strategi itu dapat kita laksanakan dengan berkesan.

Bagaimana hubungan Datuk Seri dengan Dr. Mahathir. Adakah boleh dipulihkan?  

NAJIB
: Dengan Dr. Mahathir tidak tahulah. Tengok pada keadaan tetapi dia mengeluarkan pendapat yang terlalu peribadi. Saya dapat menerima perbezaan dari segi dasar dan sebagainya tetapi jangan terlalu peribadi. Saya hendak seorang pemimpin itu menjaga kepentingan parti. Itu yang penting sekali jangan ikut sedap.

Adakah Datuk Seri jauh hati terhadap Dr. Mahathir kerana Datuk Seri pernah bersama beliau waktu susah senang dahulu.

NAJIB
: Sebab Dr. Mahathir pernah kata, waktu kita dalam kerajaan kita mesti hargai sokongan daripada orang bukan dalam kerajaan. Apabila kita luar kerajaan, kita mesti sokong orang dalam kerajaan itu dia ucap banyak kali. Tetapi kita lihat Dr. Mahathir dalam banyak hal tidak amalkan apa dia cakap sewaktu dia dalam kerajaan.

Muafakat UMNO-Pas

Banyak suara mahu UMNO dan Pas mendekatkan lagi nilai kemuafakatan terutama dalam isu agama Islam.

NAJIB
: Isu itu memang diberi perhatian umat Islam. Saya sudah nyatakan bahawa saya percaya bahawa prinsip ini amat penting. Kalau umat Islam berpecah, kesannya amat buruk. Kita tahu implikasinya. Jadi kita mesti lakukan ke arah penyatuan ummah. Ada kenyataan yang menggalakkan umpama kenyataan daripada Presiden Pas, Mursyidul Amnya boleh dikatakan positif dan pengundian bajet tahun ini, mereka tidak menyokong pembangkang untuk menolak bajet walaupun mereka tidak mengundi pihak kita. Tetapi mereka tidak menolak bajet. Jadi ini tanda-tandanya yang saya anggap sebagai menggalakkan.

Presiden Pas dan pimpinan Pas dilihat lebih memahami dan menghargai Datuk Seri. 

NAJIB
: Mereka berpegang pada prinsip Islam, haram menjatuhkan kerajaan Islam dengan cara tidak diizinkan termasuk demokrasi jalanan dan sebagainya. Itu diharamkan mengikut Islam. Jadi apa yang disuarakan pemimpin Pas itu adalah selari prinsip Islam.

Sejauh mana kerjasama muafakat ini boleh lagi diperhebatkan?
NAJIB: Saya terbuka, terpulang pada keadaan. Cuma kita tidak boleh paksa perkara ini berlaku, mesti nawaitu ikhlas dan kita biarkan proses itu berjalan selangkah demi selangkah. Tetapi yang penting sekali, kita sedar, Maknanya pemimpin UMNO dan Pas sedar bahawa perpaduan ummah adalah penting untuk umat Islam dan agama Islam.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/8216-saya-akan-terus-galas-amanah-ini-8217-1.166807#sthash.JhURwFYk.dpuf





No comments:

Post a Comment