Nuffnang

Wednesday, January 29, 2014

Tahniah Zamir MasterChef All Star


Mungkin kerana tidak mahu keputusan bocor, Astro telah mengambil pendekatan membuat rakaman berasingan dimana Celina dan Zamir masing-masing menjadi Juara Masterchef Malaysia All Stars. Dan keputusan hanya diumumkan malam tadi!

Ini adalah kerana tahun lalu, keputusan Syura muncul Juara Masterchef Selebriti telah diketahui ramai beberapa hari sebelum Finale rancangan itu disiarkan di kaca TV.


Peluang kedua yang diberikan tidak disia-siakan oleh peserta paling muda iaitu Zamir apabila diumumkan sebagai juara Masterchef Malaysia All Star sekaligus menumpaskan pesaingnya, pengacara Celina Khor.

Kemenangan itu melayakkan Zamir atau nama sebenarnya, Arshad Zamir Mohd Azmi, 21, menerima wang tunai bernilai RM55,000 yang akan disumbangkan kepada badan kebajikan Rumah Teduhan Kasih.

Zamir sebelum ini pernah menyertai Masterchef Malaysia musim pertama pada 2012 dan menjadi peserta empat terbaik.

Hadiah disampaikan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli selepas Majlis Tayangan Episod Kemuncak MasterChef Selebriti Malaysia yang diadakan di First Avenue, Bandar Utama di sini.

Ia turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Astro Maya HD pada malam Selasa.

Zamir ketika ditemui berkata, tidak menyangka kemenangan tersebut namun ia adalah antara pengalaman manis sepanjang kariernya dalam bidang kulinari.

Malah katanya, dia sebenarnya berasa gementar perlu berhadapan dengan Celina yang disifatkan sebagai tukang masak berbakat.

“Alhamdulillah, saya tidak menyangka kemenangan ini kerana tidak menjangka yang dapat pergi sejauh ini.

"Saya banyak belajar mengenai dunia masakan dalam pertandingan ini,” katanya pada sidang media di sini sebaik selesai siaran tersebut.

Dalam pertandingan tersebut Zamir tampil dengan tiga jenis sajian iaitu pembuka selera, hidangan utama dan pemanis mulut.

Pada episod terakhir itu, Zamir memilih untuk menghidangkan Sup Cendawan sebagai pembuka selera, Sea Bass Gone Wild (hidangan utama) dan Kek Angle (pencuci mulut).

Manakala Celina menghidangkan Fiesta Makanan Laut (pembuka selera), Dua Benua (hidangan utama) dan Kek Coklat Lava (pencuci mulut).

Barisan juri yang mengadili hidangan kedua-dua peserta itu adalah Chef Johari Edrus, Chef Zubir Md Zain dan Chef Adu Amran.

Program sebanyak 40 episod itu disertai 20 peserta daripada musimterdahulu termasuk Masterchef Selebriti Malaysia.

Barisan peserta yang menyertai pertandingan itu ialah Azwan Ali, Soo Wincci, Raja Azmi, Kenchana Dewi, Celina Khor, Sharifah Shahora, Micheal Ang, Syanie, Enot, Brian, Imelda, dan Zamir.

Turut serta adalah Che Lah, Ah Hong, Along, Azlina, Azni, Ary Malik dan Shahirah.

No comments:

Post a Comment