Nuffnang

Thursday, January 30, 2014

PLUS perkenal aplikasi pintar ‘PLUS Mobile Apps





PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini memperkenalkan aplikasi pintar ‘PLUS Mobile Apps’ sebagai langkah terbaru syarikat ini menyebarkan maklumat trafik terkini kepada pengguna lebuh raya kendaliannya.



Menurut Pengarah Urusan PLUS, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid, “Aplikasi pintar ini membolehkan PLUS menyalurkan maklumat serta perkembangan trafik terkini di semua rangkaian lebuh rayanya terus ke telefon pintar atau tablet pengguna lebuh raya. Ia merupakan salah satu daripada inisiatif kami untuk memastikan pengguna lebuh raya mendapat maklumat perkembangan trafik dengan lebih pantas, mudah dan jelas.”

Aplikasi PLUS Mobile boleh dimuat turun secara percuma oleh pengguna lebuh raya PLUS yang memiliki telefon bimbit pintar atau tablet. Aplikasi ini membolehkan orang ramai menerima maklumat trafik terkini secara terus ke peranti mereka, dan seterusnya membantu orang ramai merancang perjalanan mereka di lebuh raya.
“Untuk mandapatkan aplikasi ini, orang ramai yang memiliki telefon pintar atau tablet perlu memuat turun daripada ‘App Store’ bagi pengguna iPhone/iPad atau ‘Google Play Store’ bagi pengguna gajet Android,” kata Noorizah.

Aplikasi ini turut menjadi saluran komunikasi tambahan bagi menghebahkan maklumat trafik terkini selain daripada menerusi saluran sedia ada seperti papan tanda elektronik, perkhidmatan twitter PLUSTrafik, talian PLUSLine 1800-88-0000 dan menerusi hebahan di stesen-stesen radio.

Secara ringkas, aplikasi PLUS Mobile membolehkan pengguna lebuh raya menerima laporan trafik terkini seperti kejadian kemalangan, kesesakan, kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan serta lain-lain aktiviti yang berlaku di semua lebuh raya kendalian PLUS terus ke peranti masing-masing. Selain itu, ia turut menyediakan maklumat-maklumat lain seperti kalkulator tol, paparan imej terkini di laluan-laluan tertentu di lebuh raya serta kawasan rehat, kemudahan-kemudahan yang disediakan, stesen minyak, mesin ATM serta peta lebuh raya yang lebih interaktif.

Aplikasi PLUS Mobile turut menyediakan kemudahan bagi pemegang kad PLUSMiles untuk mendaftar masuk ke portal PLUSMiles bagi menyemak nilai rebat dan mata ganjaran yang diperolehi.
“PLUS Mobile merupakan nilai tambah kepada perkhidmatan lebuh raya PLUS,” kata Noorizah.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat kepada media berhubung aplikasi PLUS Mobile serta persediaan PLUS bagi menghadapi pertambahan trafik pada cuti Perayaan Tahun Baru Cina di Persada PLUS, hari ini.

No comments:

Post a Comment