Nuffnang

Thursday, November 28, 2013

Kenaikan Gaji Yang Tidak Munasabah - MP BN



Ahli Parlimen daripada kedua-dua parti politik tidak sependapat dalam isu kenaikan gaji semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor termasuk Menteri Besarnya.

Beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengatakan kenaikan tersebut terlalu tinggi, dengan Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) menyatakan kenaikan hampir 106 % gaji Menteri Besar kepada RM29,650 setiap bulan sebagai tidak munasabah.

"Ini kali kedua kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor menaikkan gaji pemimpin negeri. Saya agak pelik kerana pakatan pembangkang sering menolak apabila Ahli Parlimen BN mencadangkan kenaikan gaji Ahli Parlimen.


"Bagaimanapun, Selangor telah menaikkan meluluskan kenaikan gaji wakil rakyatnya. Mereka mengamalkan sikap 'pilih bulu'," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen.

Noh mengakui tugas Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri sangat berat, memerlukan pengorbanan masa dan berhak mendapat kenaikan gaji.

"Bagaimanapun kenaikan gaji melebihi 100% adalah tidak masuk akal," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) berkata peningkatan gaji di peringkat negeri seharusnya dibuat selepas Parlimen membuat perubahan dalam soal ganjaran kepada Ahli Parlimen.

"Kini dapat dilihat gaji Adun lebih tinggi daripada Ahli Parlimen," katanya.

Pada 2011, terdapat cadangan untuk menaikkan gaji Ahli Parlimen dalam Belanjawan 2012 namun ia dibatalkan selepas dibantah oleh beberapa pemimpin Pakatan Rakyat.

Pemimpin pembangkang seperti Lim Lip Eng (DAP-Segambut) mempertahankan kenaikan gaji tersebut dengan menyifatkan ia sebagai munasabah dan mempunyai alasan yang kukuh.

"Majoriti Adun di Selangor berkhidmat sepenuh masa sebaik sahaja mereka terpilih sebagai wakil rakyat.

"Selagi gaji mereka tidak tinggi seperti yang diperoleh oleh Adun Sarawak, ia masih boleh diterima," katanya.

Ogos lalu, dilaporkan bahawa gaji dan pencen ketua menteri, timbalan ketua menteri, pembantu menteri dan adun di negeri itu akan dinaikkan sebanyak tiga kali ganda di bawah Rang Undang-undang Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Gaji, Pencen dan Gratuiti) 2013 yang telah diluluskan oleh dewan undangan negeri.

Gaji untuk Ketua Menteri akan naik daripada RM13,000 kepada RM39,000; Timbalan Ketua Menteri, RM11,500 kepada RM35,000; menteri kanan dan speaker DUN RM9,000 kepada RM30,000; menteri, RM9,000 kepada RM27,000; pembantu menteri dan timbalan speaker, RM7,000 kepada RM21,000; anggota dewan undangan negeri, RM4,500 kepada RM15,000 dan setiausaha politik, RM3,000 kepada RM9,000.

Rang undang-undang itu juga menetapkan kenaikan gaji itu berkuat kuasa dari 1 Januari tahun lepas.

Sementara itu, R. Sivarasa (PKR-Subang) berkata peningkatan gaji bagi Adun di Selangor didorong oleh kenaikan gaji Adun di beberapa negeri seperti Sarawak dan Kedah.

"Ahli Parlimen BN juga memohon supaya gaji Ahli Parlimen disemak semula. Gaji Ahli Parlimen wajar dinaikkan namun langkah tersebut tidak boleh dilaksanakan tergesa-gesa," katanya sambil menambah gaji pokok yang diterima oleh Ahli Parlimen setiap bulan ialah RM6,500.

Sivarasa berkata selepas ditambah dengan elaun, gaji keseluruhan yang diterima oleh Ahli Parlimen mencecah sehingga RM13,000 namun jumlah berkenaan termasuk elaun untuk menggajikan pemandu.

No comments:

Post a Comment