Nuffnang

Tuesday, October 22, 2013

Kepala Batas :Nelayan hilang Dipukul Ombak

KEPALA BATAS – Seorang nelayan yang hilang selepas bot yang dinaiki bersama empat rakannya terbalik dipukul ombak dalam kejadian di perairan berdekatan Kampung 20, Penaga semalam, ditemui selamat berdekatan Pulau Keramat, di Georgetown dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata Mohd Akhmar Mat Zin, 19, ditemui pada jam 8.30 pagi oleh sekumpulan nelayan tempatan.

“Mangsa ditemui selamat oleh sekumpulan nelayan pagi ini dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut, dia dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis daerah SPU, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam 10.35 pagi, Mohd Akhmar bersama empat lagi nelayan dalam perjalanan pulang ke jeti Kota Kuala Muda, Kedah iaitu kira-kira 250 meter dari tempat bot mereka terbalik.

Sementara itu Mohd Akhmar ketika ditemui di HPP berkata sebaik bot yang dinaiki terbalik beliau sempat berpaut pada sebuah pelambung dan dihanyutkan ombak kuat sehingga ke Pulau Keramat.

“Saya berpaut pada pelambung lebih 20 jam dan langsung tidak tidur kerana bimbang tangan terlepas dan tenggelam ke dalam laut, lagipun saya tidak boleh berenang.

“Sepanjang tempoh itu saya hanya minum air laut dan dengan keadaan ombak kuat serta laut bergelora dalam fikiran hanya ingat mati sahaja. Alhamdulillah Allah panjangkan umur saya,” katanya.
Mohd Akhmar berkata beliau gembira apabila nampak sebuah bot nelayan pagi ini dan terus melambai-lambai tangan ke arah bot berkenaan.

“Sepanjang tempoh saya di laut, langsung tidak jumpa bot mungkin kerana keadaan cuaca tetapi nasib baik pagi ini seorang nelayan dari bot itu nampak saya dan mereka terus mendekati serta beri bantuan sebelum hantar ke hospital,” katanya.

Kejadian itu, katanya, tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus menjadi nelayan dan beliau berazam untuk belajar berenang bagi mengelak perkara sama berulang. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment